SEJARAH SEKOLAH

A.  NAMA SEKOLAH

Sekolah Kebangsaan Solok Menggong yang pertama telah didirikan dalam tahun 1961, di tengah-tengah sempadan Rancangan Tanah Menggong dan Rancangan Tanah Machap. Sekolah ini dinamakan Sekolah Kebangsaan Solok Menggong kerana jarak di antara sekolah dengan kedua-dua tanah rancangan ini lebih kurang 2.4 kilometer.

Pada zaman darurat, kedua-dua kawasan rancangan tersebut sangat terkenal dengan keganasan pengganas-pengganas komunis. Sekolah ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Solok Menggong sempena nama seorang pendekar yang gagah berani pada masa itu, iaitu Datok Meng

B. PENGASAS SEKOLAH

Bangunan pertama sekolah ini telah diasaskan oleh Allahyarham Yang Amat Berhormat Dato Haji Talib bin Karim yang pada masa itu menjadi Ketua Menteri Melaka. Yang Amat Berhormat Dato Haji Talib bin Karim juga adalah seorang peneroka tanah di Rancangan Kemajuan Tanah Solok Menggong

C. ASAS PENUBUHAN SEKOLAH

Sekolah ini telah ditubuhkan atas inisiatif masyarakat setempat yang terdiri daripada peneroka-peneroka Rancangan Kemajuan Tanah Solok Menggong dan Machap. Mereka merasakan sangat perlunya sebuah sekolah didirikan untuk kemudahan anak-anak mereka menimba ilmu pengetahuan secara formal.
Dengan hasrat itu, Allahyarham YAB Dato Haji Talib bin Karim telah menggesa pihak kerajaan supaya sebuah sekolah didirikan di kawasan tersebut. Kerajaan pada masa itu telah bersetuju dan membina sebuah sekolah. Sekolah Kebangsaan Solok Menggong telah mula beroperasi pada 12 JANUARI 1961.

D. BANGUNAN ASAL

Bangunan asal sekolah ini hanya mempunyai 4 buah bilik darjah. Pada awalnya, sekolah ini tidak mempunyai bilik guru, bilik-bilik khas dan kantin. Bangunan yang mempunyai 4 bilik darjah ini sangat sesak dengan keramaian murid pada masa itu, iaitu 107 orang.

Oleh kerana kesesakan murid dari tahun ke tahun, sebuah bangunan lagi dibina dan digunakan pada 10 JANUARI 1963 di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah Solok Menggong iaitu 2.4 kilometer dari tapak sekolah asal. Bangunan baru ini (Bangunan A), mempunyai dua bilik darjah, sebuah pejabat, sebuah bilik stor dan tandas moden. Bangunan ini diberi nama Sekolah Kebangsaan Solok Menggong 'B'.Pada masa itu, murid-murid dari darjah 1 hingga 4 belajar di sekolah asal manakala murid-murid darjah 5 dan 6 ditempatkan di bangunan baru tersebut. Guru-guru yang mengajar pula terpaksa berulang-alik di antara kedua-dua buah bangunan tersebut.

Pada tahun 1985, sebuah bangunan baru (Bangunan B) dua tingkat dan sebuah kantin (Bangunan C) yang moden telah dibina. Dengan adanya bangunan baru ini, kekurangan bilik darjah di tapak asal sekolah telah dapat ditampung menyebabkan bangunan Sekolah Kebangsaan Solok Menggong 'A' tidak digunakan lagi sehingga kini.

Pada tahun 1999, sebuah bangunan khas (Bangunan D) untuk Bilik Kemahiran Hidup telah dibina bagi memberi peluang kepada murid-murid untuk menjalankan kerja-kerja amali dengan lebih selesa dan selamat.

Pada tahun 2002, sebanyak 10 unit rumah guru telah dibina di kawasan sekolah. Rumah guru ini dibina untuk menggantikan 4 unit rumah guru yang terletak di FELDA Kg. Menggong, yang telah diserahkan kepada pihak FELDA Kg. Menggong. Dengan adanya rumah guru ini, guru-guru yang tinggal jauh akan dapat tinggal berhampiran sekolah untuk mempertingkatkan prestasi murid.

Pada tahun 2003, sebuah makmal komputer (Bangunan E) telah mula dibina dan disiapkan pada akhir 2004. Makmal komputer ini telah memberi input yang besar kepada murid-murid tentang sains dan teknologi pengkomputeran.

Pada tahun 2005, sebuah bangunan pendidikan khas (Bangunan F) pula telah dibina untuk keselesaan guru dan murid pendidikan khas. Bilangan guru pendidikan khas pada awalnya, seramai seorang dan 4 orang murid. Pada tahun 2008, jumlah gurunya bertambah kepada 3 orang, 12 orang murid dan seorang pembantu tadbir pendidikan khas.

Pada awal tahun 2009, sebuah lagi bangunan baru dua tingkat (Bangunan G) telah dibina dan mula beroperasi pada bulan November 2009. Bangunan ini dibina untuk menggantikan penggunaan Bangunan A sebagai bilik darjah dan beberapa bilik khas. Bermula 2010, bangunan baru ini digunakan sepenuhnya. Antara kemudahan yang disediakan iaitu 3 buah bilik darjah, sebuah bilik mesyuarat, sebuah makmal sains, sebuah surau, sebuah bilik JQAF, sebuah bilik SAL, sebuah bilik muzik, sebuah bilik seni visual, sebuah bilik matematik, sebuah bilik sukan, 3 buah tandas, 2 buah bilik wudhuk, dan beberapa stor am. Dengan adanya bangunan ini, telah melengkapkan lagi kemudahan yang ada di sekolah ini. Turut dibina sebuah pondok pengawal keselamatan yang moden dan lengkap berhampiran pintu masuk utama sekolah.
Pada akhir September 2013, Bangunan A yang uzur telah dirobohkan dan dijadikan dataran yang diturap dengan batu pasir.

E. GURU DAN MURID AWAL

Pada peringkat awal penubuhan, sekolah ini mempunyai 4 orang guru sahaja. Manakala jumlah muridnya seramai 107 orang iaitu 56 orang murid lelaki dan 51 orang murid perempuan.